Bismillah. Sudah beberapa minggu tidak ada update di blog ini.
Hari ini 27 Ramadhan 1434H hujan turun renyai-renyai sesudah Subuh, cuaca redup sehingga tengahari. Malam tadi abang telefon, katanya mahu tidur awal, malam ini mungkin LailatulQadar. InsyaaAllah pasti berjumpa orang berusaha mencari malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah menilai berdasarkan usaha.
Apapun semuanya adalah dengan keizinan dariNya.
Pagi tadi sempat ibu bersama dengan warga Hulu Selangor di Econsave Batang Kali. Rakyat yang kurang berkemampuan dibantu dengan pemberian kupon membeli-belah percuma bernilai RM100 setiap seorang sumbangan Kerajaan Negeri Selangor. Untuk sesi tadi sahaja lebih 100 orang yang terlibat. Bagi orang yang senang apalah sangat RM100 kan? Tapi besar nilainya bagi yang kurang mampu terutama di musim perayaan ini.
Ibu tinggalkan anak sekejap di rumah melayan Upin-Ipin di laptop. Abang Hakim dipertanggungjawabkan menjaga adik-adik sepanjang ketiadaan ibu. Dalam hujan rintik-rintik ibu menaiki motosikal ke Econsave yang jaraknya tidak sampai 2 kilometer. Abah bawa kereta ke tempat kerja sebab hujan.
Habis sesi pemberian kupon ibu singgah sebentar di Speed99 mencari bahan membuat Biskut Conflakes Madu. Emm... conflakes habis! Yang ada cuma 2 kotak honey conflakes, ibu ambil semuanya.
Sampai di rumah, Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. Anak-anak gembira bukan kepalang bila ibu kata mahu buat biskut raya. Sudah lama mereka minta buat biskut raya.
Mudah sahaja buat biskut ini.
1. 100gm Butter (ibu guna Anchor, itu sahaja yang ada di Speed99)
2. 6 sudu madu
3. 3 sudu gula (ibu guna 2 sudu sahaja)
Panaskan dalam periuk sehingga gula hancur. Tutup api
4. Masukkan conflakes (yang telah dihancurkan sedikit oleh Abang Hakim)
5. Gaul rata
Masukkan ke dalam papercup (guna sudu) dan tabur sedikit manik urai di atasnya.
Bakar sekejap (dalam 5-10 minit) ibu bakar dalam Pemanggang Ajaib
Alhamdulillah percubaan pertama berhasil, cuma hangit sedikit di bawahnya, kes terlebih bakar.
Masa angkat kelihatannya conflakes seperti tidak melekat, bila sejuk melekat elok pula.
Bila sudah sejuk, boleh dimasukkan ke dalam
Mudah dan senang, anak-anak puji sedap. Nanti boleh kita buat lagi ^_^
Mudah sahaja rupanya menawan hati anak-anak, bila mereka seronok, ibu minta buat apapun anak-anak ikut. Alhamdulillah tadi selepas siap biskut, anak-anak bergotong-royong membersihkan rumah. Sungguh ibu bangga punyai anak yang rajin dan ringan tulang seperti kalian!
Tadi selepas berbuka, Aiesyah tolong ibu basuh pinggan, Umar bilas pinggan yang ibu sudah cuci, abang Hakim lapkan meja. Alhamdulillah. Terima kasih Allah.
sedap...boleh try buat ni..cam senang jer..kikiki
ReplyDeletememang sedap @Alynn Mueez boleh lah cuba... senang sangat
ReplyDelete