Cerita 3 ekor biri
Pulang dari bengkel Ahad lepas, Umar menangis sambil menghentak-hentakkan kaki ke lantai.
Saya bertanya,"Apakah yang membuatkan Umar menangis?"
Kata Umar "Nak telefon"
Saya memegang kepalanya sambil ligat memikirkan apakah pilihan yang saya ada untuk memujuk. Saya teringat beberapa helai kertas berwarna hijau dan hitam yang ada di dalam beg sandang belakang.
Saya menggunakan ayat tawaran "Mahukah Umar belajar membuat biri-biri dan katak?"
Saya bertanya lagi selepas Umar menganggukkan kepala. "Mahu buat biri-biri dahulu atau katak?"
Memujuk anak melupakan gajet hanya dengan kertas, gunting dan gam.
Malam itu juga Umar melekatkan 3 ekor biri-biri di satu sudut khas dinding. Sengaja saya membiarkan 3 ekor biri-biri tidak melekat dengan kuat supaya anak akan menggerakkan sambil bercerita. Semalam sudah ada tambahan rumput dan air yang anak-anak tampal sendiri.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Cerita ini pernah saya kongsikan di dinding mukabuku (Facebook) dan pernah dimasukkan ke dalam blog Ketua Jurulatih Teknik Nabi, Puan Nurhidayah Jaafar.
Selepas tamat satu siri training, seorang ibu peserta menghampiri saya dan bertanya:
“Puan, bagaimana cara ibu bapa untuk menolak permintaan anak-anak yang meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh ibu bapa. Mereka meminta sesuatu yang pada tanggapan ibu bapa tidak bermanfaat seperti permainan PSP, video game, handphone, tablet, itu dan ini.”
Saya menceritakan satu teknik Nabi Muhammad menolak permintaan anak beliau, Fatimah yang diceritakan dalam hadith ini:
Ali bin Abu Talib adalah menantu kepada Nabi Muhammad. Beliau melaporkan bahawa isterinya, Fatimah binti Muhammad, pernah meminta kepada ayahnya supaya dia diberi seorang pembantu rumah. Nabi Muhammad menjawab dengan berkata, “Mahukah ayahanda beritahu sesuatu yang lebih baik untuk anakanda berdua dibandingkan dengan seorang pembantu rumah? Apabila anakanda berdua pergi ke katil kamu, ataupun anakanda pergi ke tempat tidur kamu berdua, bacalah takbir 33 kali, dan baca tasbih 33 kali, dan baca tahmid 33 kali. Itu adalah lebih baik bagi anakanda berdua daripada seorang pembantu rumah.”
– Hadith ini dipetik dari rekod hadith autentik dalam koleksi Bukhari. Diterjemahkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi
Aplikasi dari hadith ini adalah:
- Tolak permintaan anak itu dengan memberikan alternatif lain.
- Menolak permintaan mereka dengan menggunakan ayat tawaran, contohnya; “Mahu ibu beritahu sesuatu yang lebih baik berbanding….?
- Pemberian alternatif itu adalah lebih bermanfaat, bermutu dan menguntungkan daripada sesuatu yang diminta.
- Tidak memberitahu sebab permintaan anak itu ditolak.
Comments
Post a Comment