Jangan pergi sana. Gelap. Ada hantu!
Pernah atau tidak kita menakutkan anak begitu?
Jangan takutkan anak dengan perkara yang tiada apa lagi tahyul.
Jangan keluar rumah nanti ada polis tangkap. Tipu.
Perbuatan menakutkan anak kecil akan menjadikan anak lemah dalaman. Penakut. Kurang yakin diri.
Apabila biasa dengan ayat ugutan dan menipu, lama-lama kelamaan anak sudah tidak lagi percaya.
Sedangkan Islam menajar supaya kita hanya perlu takut kepada Allah. Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, siapa yang menipu, maka dia bukan dari golonganku. Nabi tidak mengaku umat.
Takut kepada Allah. Bagaimana?
Adakah takut kerana Allah garang?
Perkara ini perlu dijelaskan dengan baik
supaya anak faham konsep takutkan Allah
Takut untuk melakukan perkara keburukan.
Kisah seorang wanita penjual susu yang tinggal di hujung kampung. Untuk mendapat keuntungan lebih, wanita tersebut mencampurkan air ke dalam susu supaya lebih banyak. Maka lebih hasil jualan.
Anak perempuan beliau, melihat lalu mengelak untuk melakukan perkara itu.
Anak perempuan itu berkata, "Saya takut ibu"
Lalu ibunya menjawab, "Kenapa perlu takut, tiada siapa yang tahu apa yang kita lakukan."
Anak itu menjawab dengan yakin, “Sesungguhnya Allah melihat apa yang kita lakukan."
Bagaimana Allah dapat melihat sedangkan Allah tiada di sini? Mungkin ini soalan yang keluar dari mulut si kecil kita.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang zahir dan yang batin. Apa yang diucapkan dan apa yang di dalam dada. Sifat Maha Melihat Allah tidak sama dengan makhluk yang perlukan alat untuk melihat, itulah mata. Sedangkan Allah tidak perlukan sebarang alat. Penglihatan Allah meliputi apa yang ada di langit dan di bumi.
Allahu Akbar.
Lihat, betapa anak perempuan ini takut untuk melakukan penipuan semata kerana yakin bahawa Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan.
Takut kepada Allah bukan bermaksud menakutkan anak dengan Tuhan seperti buat jahat nanti masuk neraka. Jahat yang bagaimana? Terangkan sifat jahat apa. Adakah menggunakan mainan rakan termasuk perbuatan jahat?
Anak perlu lebih dahulu dikenalkan dengan Allah yang Maha Baik.
Comments
Post a Comment