Skip to main content

Bagaimana Melatih Anak Solat?

Bismillah...

Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa singgah di sini, tanpa kehadiran anda tidak mungkin ibu mendapat cek Nuffnang yang ke-4 ini walaupun kekerapan mengemaskini blog tidak seperti dahulu. Ibu nekad untuk berubah, lebih rajin menulis dan berkongsi untuk kebaikan bersama (ibu dan anda) dan bukan sebarang penghargaan atau wang Nuffnang yang ibu pertaruhkan. Terima kasih sekali lagi, ibu suka anda!

Jumlahnya RM94.20 nanti jadi RM942.00 pula :)

Baru-baru ini ibu ke Temerloh sendirian atas urusan kerja dan menuntut ilmu, sampai di sana ibu berkenalan dengan sepasang suami isteri bersama anak mereka yang tinggal tidak jauh dari rumah ibu. Kakak ini mengajak ibu pulang bersama (konvoi) kerana kami melalui jalan yang sama, ibu setuju memandangkan kursus berakhir hampir jam 6.30 petang dan ibu pula memandu sendirian ke Batang Kali yang memakan masa hampir 2 jam.

Kami berhenti di Genting Sempah untuk melepaskan hajat, dan solat Jama' Maghrib Isya'. Selesai solat ibu mendekati anak kakak tadi yang menunggu di penjuru surau. Ibu tanya, siapa namanya dan berapa umurnya? 12 tahun. Sudah solat? ibu tanya. Anak ini diam sambil tersenyum, dan ibu meneka 'owh adik sudah period yer' pun tidak dijawab hanya diam dan senyum.

Anak perempuan 12 tahun biasanya sudah mencapai umur baligh. Dalam Islam, anak berusia 7 tahun sudah perlu diajar solat, dan mengambil tindakan sewajarnya jika anak 10 tahun masih tidak menunaikan solat.

Tanggungjawab mengajar dan melatih anak solat adalah terletak di bahu ibubapa, jangan pula bila anak 10 tahun tidak solat dipukul sedangkan ibubapa tidak mengajar dan melatih anak-anak ini ketika usia mereka masih mentah. 

Ini antara tips yang ibu praktikkan dan semoga ianya memberi manfaat:

1. Solat Berjemaah
Solat berjemaah di rumah mempunyai impak yang besar kepada anak-anak, walaupun pada asalnya mereka hanya melihat ibu dan bapa solat bersama, lama-lama mereka akan turut serta. Bentangkan sejadah dan ajak anak-anak solat bersama. Sebaiknya solat jemaah di ruangan yang besar (bilik solat) atau ruang keluarga. Mulakan dengan solat Subuh, Maghrib dan Isya'. 

Membaca bacaan solat dengan kuat supaya anak-anak dapat ikut sama. Pernah ibu berlakon solat semasa 'period' apabila abah tiada di rumah untuk mengimami kami. Indahnya perasaan ini bila anak-anak yang mengajak solat sebaik sahaja azan berkumandang. Jika sebelum ini ibu di depan, Hakim di belakang tapi sekarang Hakim pula yang di depan kerana dia lah imam ibu bila mana abah tiada di rumah. Mengalunkan azan dan iqamah dengan sebelah tangan menutup telinga, Ya Allah indahnya hidup bertuhan!

2. Solat di masjid
Pentingnya menanamkan sifat cinta masjid kepada anak-anak, bawa mereka ke masjid menyertai aktiviti masjid atau mendengar ceramah agama. Wahai kaum bapa, jangan pergi sendirian sahaja, ajaklah isteri dan anak-anak sekali, terutama anak lelaki. Biar mereka lekat dengan masjid, sayang dengan masjid dan cintakan masjid, biarlah anak-anak ini yang mengimarahkan masjid-Mu dan memasyarakatkan masjid untuk generasi akan datang.

3. Puji anak
Sukar sekali untuk anak 5-6 tahun solat sampai habis tanpa berlari ke dapur minum air sekejap, atau berpaling ke belakang, tegur adiknya yang mengganggu. Jadi apabila ibu tengok anak solat dengan baik, puji serta merta. Memuji anak ada caranya seperti puji cara Rasulullah. Ibu masih belajar pujian kaedah Nabi ini,  biasanya ibu akan cakap begini 'Hakim, Hakim sangat bagus sebab solat dengan baik, ibu sayang Hakim, Ibu bangga dengan Hakim. Solat sempurna tanda orang beriman, malaikat di bahu kanan telah mencatit kebaikan Hakim hari ini. Ibu sayang Hakim' biasanya ibu bisikkan kata-kata ini di telinga kanan Hakim semasa Hakim memeluk ibu.

4. Berdoa
Bila ibu solat berjemaah dengan anak-anak, ibu memang tertunggu untuk berdoa supaya anak-anak mendengar luahan hati ibu, rintihan ibu. Ibu akan berdoa di dalam bahasa melayu biar anak-anak faham, biar anak mengerti apa yang ibu ini minta daripada Allah Yang Maha Esa. Tidak perlu ibu detailkan di sini doa ibu kerana masing-masing ada hajat sendiri, ada permintaan sendiri, minta biar khusus dan penuh penghayatan, biar basah pipi dengan linangan air mata. Bila selesai doa ibu boleh lihat bola mata Hakim berair, ini yang ibu mahukan. Bila bersalaman, Hakim terus memeluk ibu, dan ibu bisikkan pujian ke telinganya.

Setiap ibubapa pasti ada cara tersendiri untuk melatih anak solat, inilah cara ibu yang baru belajar melatih anak sulungnya berusia 7 tahun mencintai solat. 

Sesekali periksa bacaan solat anak, ada juga kursus pemantapan solat untuk anak-anak yang boleh disertai, biasanya untuk anak 9 tahun dan ke atas. Ibubapa juga perlu tambah ilmu tentang solat sebab ibu percaya, bila kita hendak memahirkan diri dalam sesuatu bidang, ilmu dan latihan sangat penting. Belajar dan terus belajar, terdapat banyak buku bimbingan solat yang boleh dijadikan rujukan untuk solat sempurna seperti buku ini. Jangan jadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus ke depan. 

Berapa usia anak anda yang sulung? Jika sudah 7 tahun seusia anak ibu, adakah telah solat? Bagaimana ibu-ibu melatih mereka solat? Jom kongsi. Semoga mendapat manfaat dan berjumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

  1. Fathini dah mula solat tapi ada masa dia liat sikit. Nak kena diajak lg ni.

    ReplyDelete
  2. Fathini umur berapa ya Nur? Takpe pelan2, ajak biar berhikmah, puji biar ikhlas, InsyaAllah.

    ReplyDelete
  3. 3 anak dara saya mmg dah start solat tp masih on off...si angah & mysara selalunya follower la sbb kami skrg byk push kat Along..dah 6 thn kan..

    tp betul la kata anie,bila dah dibiasakan anak2 pun mengikut..tersentuh hati bila mysara yg kecik tu menegur, "ibu dah mayam ker?ibu dah doa ker?"

    semoga Allah permudahkan urusan kita mendidik mereka...amin!!

    ReplyDelete
  4. InsyaAllah MamaYatie, hakim dulu saya sekadar ajak-ajak je, sekarang bila dah 7 tahun saya ajak betul2 :)

    ReplyDelete
  5. Mint share di laman blog saya "www.telekungnajwa.blogspot.com" ye!

    ReplyDelete
  6. @Yusz,
    Silakan kerana yang baik itu semuanya diberi oleh Allah kepada kita, moga dapat manfaat.

    ReplyDelete
  7. Bila ada sepupu2 @ kawan2 datang rumah time solat ajak mereka jemaah sekali.Seronok budak2 tue..

    ReplyDelete
  8. Setuju dengan apa yang Ayein cakapkan itu, anak-anak lebih seronok bila melakukan sesuatu dengan rakan-rakan mereka.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Teknik Cepat Membaca: Cara Mudah Mengajar Anak Membaca

Hakim mula belajar secara formal semasa usianya 5 tahun, buku Bacalah Anakku digunakan di sekolah dan juga di rumah untuk memperkenalkan anak dengan bunyi sukukata yang mudah mengikut teknik fonetik. Bila di rumah ibu sudah terbiasa mengenalkan anak-anak dengan huruf menyebabkan anak keliru untuk sebut 'a' dengan A atau aaa. Bila anak dihantar ke taska, guru taska tanya Buku Anakku buku ke berapa? Ibu menjawab 'emm 2 ke 3? Isk nampak sangat ibu ni tidak prihatin dengan tahap kemahiran anak sendiri, malu sendiri jadinya. Bukan tidak peduli langsung tapi terlalai dengan kerja seharian (konon sibuk sangat) sampai terlupa nak cek buku anak-anak termasuk iqra'. Mana boleh macam ni? Takkan nak biarkan anak belajar 100% di sekolah dan taska sahaja? Apa yang aku lakukan sebagai ibu di rumah? Sibuk sangat kah? Ibu mula memeriksa bacaan Hakim, mulakan dari buku 1. baru lah ibu tahu bahawa anak ibu lebih kepada menghafal sebab terlalu sedikit latihan. Bila ibu tu

Mengajar Anak Mengenal Huruf Hijaiyah

Set Lengkap Mengajar Anak Kecil Membaca Mengenal huruf hijaiyah adalah perkara asas apabila belajar mengaji Quran. Bila kenal huruf kemudian baru belajar bunyi bacaan mengikut baris. sudah pandai baca baru belajar tajwid.  Sama seperti membaca, sekarang ada kaedah yang mengajar bunyi bacaan dahulu kemudian baru kenal huruf. Sama seperti kaedah fonik dalam Bahasa Melayu. Ibu lebih suka perkenalkan anak-anak dengan huruf-huruf hijaiyah dahulu. Belajar melalui lagu dan kad imbas adalah lebih mudah untuk anak-anak ibu. Contohnya lagu Alif Ba Ta yang banyak ada di Youtube. Ibu muat turun sahaja dan pasang di laptop hampir setiap hari. Bukan untuk anak yang baru belajar, anak yang sudah pandai mengaji pun akan ikut sama menyanyi. Lagu Alif Ba Ta yang mudah dan senang diikuti adalah seperti ini [Klik di sini] Ini yang paling jelas sebutan, jika ada yang lain mohon dikongsi di ruangan komen.  Untuk perkenalkan huruf menggunakan kad imbas, ibu gunakan kad imbas huru

Bagaimana Hilangkan Kutu Rambut?

Apakah itu kutu rambut? Kutu kepala adalah serangga kecil yang tidak bersayap yang berwarna kelabu atau coklat. Ianya ialah parasit yang mendapat makanan dengan menghisap darah dari kulit kepala manusia.   Saiz kutu yang baru menetas adalah lebih kurang 1mm (lebih kurang saiz kepala jarum peniti), dan kutu penuh dewasa berukuran sekitar 3mm (kecil sedikit daripada saiz kepala mancis). Kutu kepala mengambil masa antara enam hingga 14 hari untuk menjadi penuh dewasa, kemudian betina akan melakukan hubungan jenis dan melahirkan telur di atas kulit kepala.  Telur, atau 'nit' dalam bahasa Inggeris berwarna putih-kuning. Kadangkala ianya disangkakan kelemumur, tetapi boleh dibezakan sebab ia melekat kepada rambut dan sukar untuk dilucutkan. Telur mengambil masa tujuh hingga 19 hari untuk menetas dan kulit telur melekat tinggal pada batang rambut. Kutu boleh hidup sampai 21 hari, dan betina dewasa boleh mengeluarkan sebanyak 56 telur dalam satu hubungan jenis.