May 14, 2013

Hadiah Hari Lahir Paling Bernilai


Anak sulung ibu Hakim telah mula membaca Quran semasa usia 7 tahun (ibu panggil Quran besar) dan sekarang pada usia 8 tahun, Hakim sudah dapat membaca dengan baik dari segi panjang pendek dan makhraj huruf. Tajwid masih lagi dalam proses belajar. Satu perkara yang perlu dibaiki dari segi bacaan, di mana perlu berhenti dan sambung semula bacaan. Ibu perhatikan Hakim suka mengambil nafas semasa bacaan apabila membaca ayat yang panjang, tidak sempat untuk berhenti di tempat-tempat wakaf.

Ini mengganggu bacaan Hakim, dan ibu yang mendengar dan meneliti bacaannya.

Ibu teringat pada Quran Wakaf dan Ibtida terbitan Telaga Biru, Alhamdulillah berjaya dapatkannya di Pesta Buku baru-baru ini pada harga offer. Gembira bukan main Hakim apabila ibu katakan Quran tersebut untuk dia supaya bacaan Al-Qurannya lebih baik. Masuk sahaja dalam kereta selepas solat Zuhur, Hakim terus buka dan belek Quran tersebut, melihat panduan mengikut warna yang digunakan. Sebelum itu dalam komuter Hakim mahu membukanya, tapi ibu melarang kerana Quran perlu dipegang dengan berwudhu'

Malam itu Hakim mula menggunakan Quran ini, menanda bacaannya dengan penanda yang disediakan. Alhamdulillah bacaan Hakim lebih baik, dia cuba menjaga nafas untuk berhenti di tempat wakaf atau mengikut warna.

Mengikut panduan dalam Quran Wakaf dan Ibtida' ini, pembaca boleh memberhentikan bacaan di tempat yang diwarnakan merah, hijau atau biru. Pembaca boleh menyambung semua bacaan dengan mengulang bacaan berwarna merah dan hijau. Meneruskan bacaan selepas bacaan berwarna biru.

Ibu beli Quran ini untuk Hakim kerana Hakim masih belum ada Quran sendiri, sebelum ini hanya baca menggunakan Quran yang 30 Juzuk, 1 buku 1 juzuk. Itu ibu beli sebelum Hakim masuk darjah 1 lagi, ia memudahkan Hakim membawanya ke sekolah untuk bacaannya bersama guru di sekolah Al-Amin dan sekolah KAFA.

Kebetulan hari lahir Hakim pada 05 Mei, jadi kira hadiah hari lahir.... ibu akui jarang membelikan hadiah pada anak-anak. Biasanya kami beli sesuatu apabila ada keperluan, kecuali buku. Al-Quran adalah hadiah yang paling berharga dari ibu buat anak. Quran ini untuk dibaca sepanjang hayatmu duhai anak, ambillah pengajaran dan jadikan panduan dalam menempuh hidupmu yang masih panjang. Ini adalah bekalmu di dunia, dan kehidupan selepas alam dunia. Ini adalah temanmu apabila nyawa berpisah dari jasad.


Jangan pernah tinggalkan ia bersendirian, kerana ianya ayat-ayat cinta paling agung daripada Sang Pencinta yang memiliki segala. Peganglah ia nescaya kamu tidak akan sesat dan tenggelam dalam keindahan dunia sementara. Apabila membacanya ingati ibu mu ini yang sentiasa mendoakanmu.

Quran Wakaf & Ibtida' ini sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga dewasa, sesuai juga dijadikan hadiah perkahwinan, hadiah hari ibu, hadiah hari guru dan lain-lain

2 comments:

  1. alhamdulillah hakim dh dpt baca dengan lebih baik...mungkin boleh belajar taranum pulak lepas ni.. : )

    ReplyDelete
  2. terima kasih @amirah... wah belajar tarannum? Ibu belajar separuh jalan je.... jika ada kesempatan mahu juga asah bakat anak ke situ

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails