Jan 22, 2016

Peranan Anak Di Rumah Menjadikan Anak Seorang Yang Membantu Meringankan Beban Orang Lain


Apabila malam, badan mula lesu, terasa mahu baring sahaja. Apakan daya kadangkala anak kecil perlukan perhatian.

Alangkah beruntungnya apabila anak kecil merengek, anak yang lebih besar menawarkan diri untuk membantu.

"Ammar menangis ibu"
"Ammar sudah mengantuk tu, dia hendak susu"
"Biar Aiesyah buatkan susu untuk Ammar"

Aiesyah ke dapur, menyiapkan susu adik Ammar seperti biasa. Sudah hafal sukatan air panas, susu dan air kosong. Selepas itu, disuakan susu kepada adik sambil membaringkan adik di tempat tidurnya. 

Pernah juga sebelum ini, ketika sedang solat, Aiesyah mandikan adiknya yang berusia 1 tahun 7 bulan itu. Usai solat ibu bertanya, "Aiesyah mandikan baby Ammar?"

"Ya, tadi Ammar berak sampai bocor kena seluar, Aiesyah mandikan terus."
"Aiesyah selalu mudahkan urusan ibu, Allah akan sentiasa mudahkan urusan Aiesyah"

Aiesyah senyum menampakkan kedua lesung pipitnya.

Sebagai ibubapa, kita bersyukur sekiranya anak banyak membantu urusan di rumah. 

Apabila anak-anak kecil diberikan peranan dan tanggungjawab, mereka belajar menjadi orang yang berdikari, bertanggungjawab dan meringankan beban orang lain.

Anak yang diberi tugas-tugas kecil semasa mereka kecil lebih bertanggungjawab menjalankan tugas yang lebih besar apabila mereka semakin membesar.

Anak yang usianya baru 5 atau 6 tahun sudah boleh menjaga adik yang berusia setahun.
Mereka boleh menyuap adik makan, bermain dengan adik, lap meja, sapu sampah, buang sampah, bancuh air dan sebagainya.

Semakin membesar, semakin mencabar tugasan yang perlu mereka sempurnakan.

Anak yang berusia  8 tahun sudah boleh mandikan adik, bancuhkan susu untuk adik, pakaikan adik lampin, kemaskan bilik, basuh bilik air dan sebagainya.

Sejak hari pertama persekolahan, anak-anak melihat jadual dan menyusun buku mereka sendiri. Kami cuma pantau sahaja apa yang perlu. Jujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk melihat jadual harian mereka lengkap dengan jadual matapelajaran dan jadual bawaan buku. Anak yang usianya belum lagi mencecah 9 tahun lebih pakar bab ini. Banyak kali kami perhatikan kakak membantu adik siapkan jadual sekolah.


Pada sesetengah orang, ianya tiada apa-apa, namun pada saya, perbuatan kecil itu banyak manfaatnya.

Anak membantu orang lain dengan sukarela tanpa perlu diminta atau disuruh-suruh.

Sungguh saya lihat, anak-anak yang diberi tanggungjawab sejak kecil bukan sahaja menjadi anak yang berdikari, mereka juga membesar menjadi insan yang suka membantu meringankan beban orang lain.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails