Feb 3, 2013

Impak Pujian Cara Nabi, Anak Lebih Rajin Belajar


Ibu bersyukur terpilih menyertai Bengkel Mendorong Pelajar Corot dan sekarang telah menjadi alumni kumpulan khas di facebook. Banyak ilmu baru yang ibu pelajari di sana. Mendidik anak-anak di tadika merupakan pengalaman baru yang mencabar bagi ibu.

Mengajar anak-anak yang ramai di tadika tidak sama seperti mengajar 3 anak di rumah. Pelbagai peel dan karenah yang kadang-kadang sangat menguji kesabaran. Namun ditekadkan hati dan semangat demi anak-anak bangsa, mendidik bukanlah kerja singkat, ianya suatu proses yang lama.

Mengendalikan anak-anak yang hiperaktif, gemar bermain, lasak dan tidak suka berada di dalam kelas. Ibu akui masih belum dapat menggunakan sepenuhnya teknik mendorong gaya Nabi dalam keadaan tertentu yang sukar dikawal.

Ini kisah seorang anak di tadika yang suka buat hal sendiri, guru-guru lain beritahu ibu anak ini perlu dipujuk-pujuk untuk buat kerja di dalam kelas dan ketika menjawab ujian. Bila ditegur atau dimarah terus keluar kelas, tidak masuk-masuk (merajuk) hihi.

Sejak 2 minggu lepas anak ini akan duduk di dalam kelas yang ibu mengajar. Ikutkan jadual kelas beliau (6 tahun 2) bermula selepas rehat, sebelah pagi kelas 6 tahun (1) tanpa rasa bersalah beliau akan membawa beg dan kerusinya duduk di kelas 6 tahun 1 sebelah pagi dan berpindah ke kelas sendiri selepas rehat. Begitulah rutinnya setiap hari.

Walaupun dimarahi guru lain (beliau akan ketinggalan subjek yang lain) namun anak ini tetap dengan rutin itu setiap hari. Ibu akur sekurang-kurangnya beliau rajin belajar dan suka berada di dalam kelas.

Pagi sebelum perhimpunan (perhimpunan jam 8 pagi setiap hari) sekitar jam 7.15 - 8.00 adalah waktu mengaji Quran. Sebelum ini anak ini hanya melihat kawan-kawannya mengaji, namun semalam (Khamis) anak ini duduk di kerusi (yang dikhaskan untuk ibu mendengar bacaan murid) tanpa buku Iqra'. (Entri ini ibu tulis Jumaat lepas, baru sempat kemaskini hari ini)

"Kamu bawa Iqra?" Anak ini hanya menggelengkan kepalanya.
Tidak mengapa, ibu terus membuka Buku Iqra' (yang ibu bawa) di hadapannya.

Anak ini mula membaca selepas di suruh, selesai bacaan seperti biasa ibu akan puji anak-anak ini menggunakan teknik nabi. Formulanya mudah, cari satu kebaikan, puji kebaikan itu dan nyatakan impaknya.

Ibu berkata, "Bagus Amsyar, cikgu suka dengan bacaan kamu, jika kamu selalu mengaji pasti kamu dapat mengaji dengan lancar"

"Bagus Amsyar, cikgu suka dengan bacaan kamu" - Puji kebaikan, puji bacaannya
"Jika kamu selalu mengaji pasti kamu dapat mengaji dengan lancar" - Impak

Amsyar tersengih-sengih seperti seorang perempuan yang baru dapat bunga sambil tangan diletakkan di mulut. Nampaknya anak ini masih tidak puas dengan bacaannya yang kurang lancar, beliau mahu mengaji lagi. Habis beliau mengaji, perhimpunan bermula, Amsyar masih lagi memegang Iqra' di tangannya, beliau membuka dan mulut terkumat-kamit membaca lagi dan lagi.

Semasa perhimpunan berlangsung, anak ini datang kepada ibu dan mahu diperdengarkan bacaannya lagi. Alhamdulillah kali ini semua bacaannya betul. "Bacaan yang sangat bagus, cikgu suka. Simpan Iqra' sekarang waktu perhimpunan" Beliau tersengih dan akur dengan arahan. Alhamdulillah.

Pelajar ini pernah masuk dalam facebook Ustaz FM Fadhil Majid semasa Mini Karnival sempena Jelajah Jejak Tunas Selangor


Keajaiban pujian cara nabi, kesannya serta merta. Dalam banyak-banyak teknik, teknik pujian ini yang paling banyak ibu gunakan (ibu sudah boleh menguasai), teknik-teknik lain masih kena belajar dan berlatih :)

Pujian adalah teknik terbaik menaikkan self-esteem anak-anak, pujian bagi anak-anak ibarat air yang diperlukan untuk menghilang dahaga di saat kepanasan. InsyaaAllah, berkongsi lagi.


6 comments:

  1. kalau ada bengkel lagi kat jb nak juga join...

    blajar untuk puji dan hargai anak2, juga hargai ayah anak2nya...haha...

    ReplyDelete
  2. yg paling susah nak kawal kemarahan pd anak..tahap kesabaran kena tinggi la kak..tp cara memuji ni memang berkesan...

    ReplyDelete
  3. aida setuju. pujian tu main peranan paling penting... kembang hati diorang bila kita puji...

    ReplyDelete
  4. @Karisma Izzah
    Betul apa yang diucapkan, pujian kepada semua orang bukan sahaja kepada anak, bapa anak juga :)

    ReplyDelete
  5. @amirah
    Teknik pujian gaya Nabi Muhammad memuji sikap, usaha, sifat. Akak doakan amirah...

    ReplyDelete
  6. @Aida
    Betul apa yang Aida perkatakan, manusia memang suka dipuji.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails