Sudah hampir jam 12 malam. Anak-anak lena dibuai mimpi seusai menyiapkan kerja sekolah. Ibu sayu melihatkan Hakim yang lembik kurang bermaya. Mata anak ibu ini kelihatan merah semasa ibu mengambilnya di sekolah petang tadi. Pelbagai andaian di dalam benak ini, bergaduhkah? Kena marah dengan guru kah? Jatuh kah?
Sebaik masuk sahaja dalam kereta, air mata jatuh dari kelopak mata sambil berkata "Hakim demam". Tangan ibu tangkas merasa kepala Hakim dan ternyata kepala dan badan Hakim panas melebihi suhu badan normal. Ibu pegang bahu Hakim seraya berkata dengan nada memujuk "Hakim demam? Sikit sahaja ni, esok baik lah ni" Niatnya supaya Hakim berhenti menangis rupanya semakin tersedu. "Mu'alimmah kata esok tak payah datang sekolah" kata Hakim sambil menangis. Oh anak ibu kan kuat, Hakim memang jarang sakit, ibu sendiri sudah lupa bila kali terakhir Hakim demam panas begini. Antara ke-3 anak ibu Hakim anak yang paling kuat antibodi (jika ibu boleh katakan begitu).
Hakim baring dan berehat di sebelah sit pemandu, sekejap ibu lihat dia sudah lena. Memang betul Hakim nampak lemah sekali. Sampai di rumah ibu lap badan Hakim dengan air bersih dan sapukan nano krim ke badan terutama tulang belakang. Ibu lihat di dalam peti ais, ubat demam sudah habis. Telefon abah minta belikan paracetamol 250.
"Hakim kan kuat, Hakim mesti kuat lawan virus demam ni, minum air kosong banyak-banyak supaya haba keluar, bila dah sihat Hakim boleh taekwando, main basikal, main dengan Aiesyah dan Umar" Hakim hanya mengangguk lemah. Seusai solat Asar ibu dengar gelak ketawa anak-anak ibu termasuk Hakim, dan penglipur-lara adalah si tengah Aiesyah. Anak kedua ibu ini memang pandai buat lawak, pandai menghiburkan semua orang dalam rumah ini. Alhamdulillah mujur ada Aiesyah, mahu juga Hakim gelak melihat keletah adik perempuannya itu.
Malam ini ibu solat sendirian, biasanya ditemani anak-anak dengan diimami Hakim. Umar dan Aiesyah biasanya mengikut si abang, abang Hakim sudah lena, mengantuk katanya, bila abang Hakim tidak solat, mereka berdua leka membuat kerja melukis dan mewarna.
Hampir jam 10 malam baru abah sampai, terus dikejutkan Hakim yang sudah lena untuk diberikan paracetamol 250. Umar dan Aiesyah juga sudah lena sebelum abah balik selepas menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Umar dengan buku-buku koleksi sendiri.
Esok ibu ada kaunter, nampaknya ibu kena buat plan B sekiranya Hakim tidak ke sekolah. Anak-anak dan keluarga adalah keutamaan bagi ibu, begitu juga dengan ibu bapa. Walau apa pun situasi suami, ibu bapa, anak-anak menjadi perhatian utama. Bila anak-anak kurang sihat ibu bersyukur kerana diberi peluang dan ruang untuk bersama mereka, ini kelebihan bekerja sendiri tidak perlu mohon cuti atau ambil EL, hanya tukar perancangan sahaja. Alhamdulillah kaunter ibu sudah minta orang lain gantikan, terima kasih Ya Allah, Engkau permudahkan urusan kami.
Ibu mohon untuk mengundurkan diri, harapannya esok Hakim sudah kembali normal, mahu ke kelas Taekwando katanya tadi. Semoga bersua lagi.
Siannya semoga hakim cepat sembuh...
ReplyDelete@Zie
ReplyDeleteTerima kasih atas doa, Alhamdulillah lepas sehari berehat di rumah, keesokannya sudah ke sekolah seperti biasa.