Sila jangan buat sebarang andaian ketika membaca apa yang ibu tuliskan ini, sekadar luahan dan cerita sembang pagi ini :)
Matangkah seorang yang bergelar ibu kepada anak yang sudah menjejakkan kaki ke menara gading berperangai seperti gadis belasan tahun?
Itu yang terlintas di benak ibu tatkala melihat reaksi seorang kakak yang bermasam muka kerana sedikit masalah. Mana ada manusia yang tiada masalah kan? Allah bagi kita masalah untuk melihat bagaimana kita menghadapi dugaan itu?
Jika ada ketidakpuasan hati maka berbincang dan cakap baik-baik, bukan dengan menarik muka masam, ditegur tidak dijawab, sanggup tidak makan hanya kerana ingin menunjukkan keegoan sendiri? Hebat sangatkah kita ini? Matangkah perbuatan seperti itu?
Apabila kita tidak berpuas hati dengan seseorang, sebenarnya kita tidak puashati dengan diri sendiri juga. Apabila kita tidak puas hati dengan sesuatu situasi atau keadaan yang telah pun berlaku, samalah seperti kita tidak puas hati dengan Allah yang mengatur segalanya.
Kenapa ibu cakap begitu? Pernah dengar cerita tentang buah tembikai? Ceritanya begini...
Seorang isteri teringin makan buah tembikai, lalu meminta suami membelinya di pasar. Kerana sayangkan isteri maka suami keluar ke pasar, beli buah tembikai dan balik ke rumah diberikan kepada isterinya. Selepas si isteri tadi memotong buah tembikai tersebut, alangkah marahnya isteri tadi kerana suaminya membeli buah tembikai yang sudah lebam dan masam!
Si isteri berteriak dan berkata dengan nada marah, "Kenapa beli buah tembikai masam? Pilihlah buah yang elok!"
Suami kelihatan tenang sahaja lalu bertanya kepada isterinya,"Marah pada siapa?"
Isteri "Abang lah beli buah tembikai masam, mana boleh makan"
Suami berkata lagi "Abang telah memilih buah tembikai yang elok, mana abang tahu buah ini masam, jika kamu marahkan abang kerana buah tembikai ini samalah seperti marahkan Tuhan"
Isteri terkejut dengan kata-kata suaminya, "Kenapa pula?"
Suami bercerita dengan panjang lebar "Buah tembikai ini asalnya dari ladang petani yang mengusahakannya, petani menjual kepada pemborong buah tembikainya, sudah tentu pemborong mahu memilih buah tembikai yang baik dan elok isinya. Pemborong menjual pula kepada peniaga, abang percaya sudah tentu peniaga memilih buah tembikai yang baik dan elok sahaja untuk di jual. Tadi semasa di pasar, abang telah memilih buah tembikai yang paling baik, sudah tentu abang mahu belikan buah tembikai yang paling manis buat isteri abang yang tersayang ini. Sekarang apabila memotong, ternyata buah tembikai tersebut masam. Jadi siapa yang takdirkan buah yang abang beli ini masam? Sudah tentu Tuhan yang kamu marah kerana memberikan kita buah tembikai yang tidak elok"
Tidak puas hati = tidak redha
Fikir-fikirkan....
Comments
Post a Comment