Skip to main content

Sayangi Diri Sebelum Menyayangi Orang Lain


"Ustaz, kerana sayang anak-anaklah saya jadi begini," keluhnya perlahan.
"Puan telah terkorban," balas saya juga perlahan.
"Saya terkorban kerana berkorban."
Saya diam. Perlahan-lahan saya renung keadaannya yang daif. Kakinya yang membengkak. Badannya yang sembab. Mukanya yang pucat. Penyakit tiga serangkai telah menyerangnya – darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis. Saya dijemput oleh suaminya untuk memberi sedikit-sebanyak nasihat bagi menenangkan hatinya.
Saya masih ingat kata-kata suaminya, "Ustaz, tolong buat sesuatu pada isteri saya. Dia dalam keadaan yang sangat murung. Hampir tidak pernah senyum. Penyakitnya pun semakin berat. Dia perlukan keyakinan untuk sembuh. Jika tidak... "
Tanpa banyak bertanya saya terus memberi persetujuan. Sungguhpun kami berdua hanya kenalan jauh tetapi hajat seorang muslim terhadap saudaranya menjadikan kami dekat. Dan petang ini, saya meluangkan masa untuk bercakap-cakap dengan isteri yang berusia lewat 40'an ini.
"Puan, berkorban tidak semestinya terkorban..." pujuk saya perlahan.
"Mengapa ustaz kata begitu?"
"Sekarang, puan mesti memiliki harapan dan keyakinan yang tinggi untuk sihat," kilas saya menangguhkan jawapan pada pertanyaannya.
"Entahlah... saya seolah-olah putus harapan. Macam manalah anak-anak yang tinggalkan di rumah sekarang. Sudah dua bulan saya ditahan di rumah sakit begini..."
Saya benar-benar simpati, malah empati melihatnya. Masih terngiang-ngiang kata suaminya, "Ustaz, isteri saya sakit sebab terlalu banyak berkorban untuk anak-anak. Sejak anak-anak masih kecil, siang malam dia memberi tenaga, fikiran dan perhatiannya untuk membesarkan anak-anak. Risau dan bimbangnya hanya untuk membesarkan anak-anak. "
"Lalu... kerana itu dia mengabaikan kesihatannya?" tanya saya kepada suaminya.
"Ya. Bukan itu sahaja, dia langsung tidak pernah gembira hanya untuk menggembirakan anak-anak. Kesihatan, pelajaran, makan-minum, pakaian dan segalanya tentang anak-anak dijaganya dengan rapi. Tetapi makan-minumnya sendiri terabai. "
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ini prinsip hidup lilin...membakar diri untuk menerangi orang lain.
Gambar sekadar hiasan, sumber google :)
"Ustaz, apakah ada salah saya, hingga takdirnya saya menerima nasib begini?" tanya ibu itu menyentap kembali perhatian saya kepadanya.
"Salah puan memang ada..." jawab saya.
"Salah saya?" dia tersentak. Riak mukanya semacam tidak percaya.
"Puan seharusnya menyayangi diri dahulu sebelum menyayangi orang lain," jawab saya pendek.
"Bukan orang lain ustaz, anak-anak saya sendiri!"
"Sekalipun kepada anak sendiri."
"Itu mementingkan diri namanya!"
"Tidak! Menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain bukan mementingkan diri. Malah itulah sewajarnya kita lakukan," pintas saya. Nampaknya, saya telah 'berjaya' membuat dia melenting, marah dan memberi respons. Itu bagus. Sekurang-kurangnya dia telah keluar daripada zon kemurungan dan sindrom membisu yang dialaminya sekian lama.
"Mengapa demikian?"
"Hanya orang yang ada kasih sayang sahaja mampu memberi kasih sayang. Logiknya, hanya orang yang ada wang, mampu memberi wang," terang saya.
Sekarang dia pula terdiam. Termenung agak lama. Saya biarkan sahaja dia dengan fikiran dan perasaannya.
"Puan, sebenarnya hanya orang yang sihat sahaja dapat menjaga kesihatan orang lain. Sekarang, cuba lihat... apabila puan sakit, siapa yang hendak menjaga anak-anak puan di rumah? Padahal kalau puan sihat, puan boleh menjaga mereka sekarang."
"Saya tak faham ustaz, apa yang sedang berlaku sekarang. Tolonglah jelaskan," rayu wanita itu.
"Baiklah, mari kita fahami dahulu apa yang telah berlaku. Kemudian kita cuba fahami apa yang sedang berlaku. Dan akhirnya, rancang apa yang perlu kita lakukan nanti."
Mendengar kata-kata saya dia mula mengubah posisi badannya. Daripada berbaring kepada mengangkat badannya lantas bersandar di birai katil. Alhamdulillah, itu petanda positif. Mengubah posisi fizikal adalah proses merubah emosi dan minda. Bukankah untuk meredakan kemarahan kita dinasihatkan agar menukar posisi badan?
"Apa yang telah berlaku dahulu adalah satu kesilapan. Puan seharusnya menjaga kesihatan badan, fikiran, perasaan dan jiwa semasa mengasuh, mendidik dan menjaga anak-anak."
"Maksudnya ustaz?"
"Jaga diri puan dahulu sebelum menjaga anak-anak. Maksudnya, puan perlu menjaga kesihatan jiwa dan badan puan. Itu bukan pentingkan diri. Tujuan kita sihat ialah agar mampu menjaga kesihatan orang lain. Sayangnya, puan telah tersilap, puan terlalu menjaga anak-anak sehingga mengabaikan kesihatan sendiri. Akibatnya, puan jatuh sakit... dan sekarang anak-anak terabai! "
Saya teringat kata-kata seorang pakar pendidikan, "Sebenarnya orang yang mengabaikan kesihatan diri adalah orang yang paling mementingkan diri sendiri." Ketika ditanya mengapa, beliau berkata,"Sebab apabila dia sakit, orang lain yang terpaksa menjaga dirinya. Sebaliknya, orang yang menjaga kesihatan diri... akan sihat. Apabila dia sihat, dia mampu menjaga orang lain yang sakit!"
"Betul juga kata ustaz, sekarang, anak-anak saya terabai dan saya sendiri pun sakit. Rugi-rugi..."
"Yang sudah, sudahlah. Kata bijak pandai, sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada kesilapan semalam, ayuh kita lupakan. Fokus kepada hari ini. Sekarang mari kita memahami realiti terkini... Apa yang sedang berlaku sekarang?"
"Saya sedang sakit..."jawab ibu itu.
"Tidak, puan sedang dirawat untuk sihat!"
"Maksud ustaz?"
"Puan mesti bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik dengan diri sendiri. Katakan pada diri, aku layak untuk sihat kembali. InsyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan itu."
Dia diam. Mukanya tunduk. Saya menambah kata,"Puan mesti sihat kerana puan memang sayangkan diri puan. Puan mesti sayangkan diri puan untuk menyayangi anak-anak puan. Itulah niat dan semangat yang perlu ada dalam diri puan sekarang. Inilah langkah terbaik untuk memulakan hari ini bagi menghapuskan kesalahan semalam."
"Ustaz, saya akan sembuh?"
"Yakinlah pada bantuan Allah. Penyakit lahiriah ini akan mudah ditangani jika hati dan jiwa kita terlebih dahulu diubati. Tanamkan keyakinan, harapan dan sangka baik kepada Allah. Ujian sakit ini sebenarnya untuk tujuan itulah... bagi mengingatkan kita agar kembali kepada Allah. Kembali merintih, berharap dan mengadu kepadaNya."
"Ustaz, tolong doakan agar saya nampak hubungan antara kasih sayang terhadap diri, manusia dan Alllah..."
"Puan, saya pun senasib dengan puan. Masih mencari-cari hakikat kasih sayang Allah. Namun, setakat ini apa yang saya tahu, kita tidak mampu menyayangi manusia lain selagi kita belum menyayangi diri sendiri. Dan kita tidak akan mampu menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi Allah!"
Perkongsian mengusik jiwa oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang ibu sanjungi.

Kasih sayang yang abadi hanya milik Allah, pemilik mutlak hati-hati. Ya Allah kurniakan aku cintaMu dan cinta orang yang mencintaiMu.



Comments

Popular posts from this blog

Teknik Cepat Membaca: Cara Mudah Mengajar Anak Membaca

Hakim mula belajar secara formal semasa usianya 5 tahun, buku Bacalah Anakku digunakan di sekolah dan juga di rumah untuk memperkenalkan anak dengan bunyi sukukata yang mudah mengikut teknik fonetik. Bila di rumah ibu sudah terbiasa mengenalkan anak-anak dengan huruf menyebabkan anak keliru untuk sebut 'a' dengan A atau aaa. Bila anak dihantar ke taska, guru taska tanya Buku Anakku buku ke berapa? Ibu menjawab 'emm 2 ke 3? Isk nampak sangat ibu ni tidak prihatin dengan tahap kemahiran anak sendiri, malu sendiri jadinya. Bukan tidak peduli langsung tapi terlalai dengan kerja seharian (konon sibuk sangat) sampai terlupa nak cek buku anak-anak termasuk iqra'. Mana boleh macam ni? Takkan nak biarkan anak belajar 100% di sekolah dan taska sahaja? Apa yang aku lakukan sebagai ibu di rumah? Sibuk sangat kah? Ibu mula memeriksa bacaan Hakim, mulakan dari buku 1. baru lah ibu tahu bahawa anak ibu lebih kepada menghafal sebab terlalu sedikit latihan. Bila ibu tu

Mengajar Anak Mengenal Huruf Hijaiyah

Set Lengkap Mengajar Anak Kecil Membaca Mengenal huruf hijaiyah adalah perkara asas apabila belajar mengaji Quran. Bila kenal huruf kemudian baru belajar bunyi bacaan mengikut baris. sudah pandai baca baru belajar tajwid.  Sama seperti membaca, sekarang ada kaedah yang mengajar bunyi bacaan dahulu kemudian baru kenal huruf. Sama seperti kaedah fonik dalam Bahasa Melayu. Ibu lebih suka perkenalkan anak-anak dengan huruf-huruf hijaiyah dahulu. Belajar melalui lagu dan kad imbas adalah lebih mudah untuk anak-anak ibu. Contohnya lagu Alif Ba Ta yang banyak ada di Youtube. Ibu muat turun sahaja dan pasang di laptop hampir setiap hari. Bukan untuk anak yang baru belajar, anak yang sudah pandai mengaji pun akan ikut sama menyanyi. Lagu Alif Ba Ta yang mudah dan senang diikuti adalah seperti ini [Klik di sini] Ini yang paling jelas sebutan, jika ada yang lain mohon dikongsi di ruangan komen.  Untuk perkenalkan huruf menggunakan kad imbas, ibu gunakan kad imbas huru

Bagaimana Hilangkan Kutu Rambut?

Apakah itu kutu rambut? Kutu kepala adalah serangga kecil yang tidak bersayap yang berwarna kelabu atau coklat. Ianya ialah parasit yang mendapat makanan dengan menghisap darah dari kulit kepala manusia.   Saiz kutu yang baru menetas adalah lebih kurang 1mm (lebih kurang saiz kepala jarum peniti), dan kutu penuh dewasa berukuran sekitar 3mm (kecil sedikit daripada saiz kepala mancis). Kutu kepala mengambil masa antara enam hingga 14 hari untuk menjadi penuh dewasa, kemudian betina akan melakukan hubungan jenis dan melahirkan telur di atas kulit kepala.  Telur, atau 'nit' dalam bahasa Inggeris berwarna putih-kuning. Kadangkala ianya disangkakan kelemumur, tetapi boleh dibezakan sebab ia melekat kepada rambut dan sukar untuk dilucutkan. Telur mengambil masa tujuh hingga 19 hari untuk menetas dan kulit telur melekat tinggal pada batang rambut. Kutu boleh hidup sampai 21 hari, dan betina dewasa boleh mengeluarkan sebanyak 56 telur dalam satu hubungan jenis.